Kembali

PMKS perlu memanfaatkan inovasi, digitalisasi untuk kembali pulih – PM

KUALA LUMPUR – Kerajaan menggariskan dua fokus utama sebagai pemangkin pemulihan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Yang pertama, PMKS harus memanfaatkan inovasi, digitalisasi serta penggunaan teknologi untuk mendorong agenda pemulihan.

Manakala pemangkin kedua ialah pembangunan jangka panjang PMKS harus menerapkan prinsip kelestarian yang meliputi persekitaran, sosial dan tadbir urus ke dalam strategi perniagaan mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelbagai aktiviti menerusi e-dagang termasuklah pembayaran secara digital, pembelajaran jarak jauh, persidangan video serta perkhidmatan logistik merupakan perkara lazim di dalam ekonomi hari ini, disebabkan oleh keperluan dan peluang yang semakin meningkat.

Ini juga adalah antara usaha yang boleh membiasakan PMKS dalam era persaingan Revolusi Industri 4.0.

”Kita dapat melihat bahawa kehadiran PMKS di atas talian telah meningkat dua kali ganda daripada 35.3% yang dicatatkan pada tahun 2019 (pra-Covid-19) kepada 75.8% pada tahun 2021 (pasca Covid-19),” katanya ketika menyampaikan ucaptama ketika merasmikan Pameran Tahunan PKS-SMIDEX 2021, di sini, hari ini.

Menurut beliau, tumpuan harus diberikan kepada pengurangan kos dan peningkatan produktiviti menerusi kecekapan tenaga, prinsip ekonomi kitaran, amalan penggajian tenaga kerja yang baik serta struktur tadbir urus syarikat yang kukuh bagi memenuhi matlamat kelestarian.

”Menyedari hakikat bahawa penerapan prinsip-prinsip kelestarian adalah amat penting di dalam strategi perniagaan sesebuah PMKS, saya difahamkan SME Corp. Malaysia serta United Nations Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) sedang bekerjasama dalam usaha membangunkan PMKS yang mampan melalui satu platform digital yang dinamakan sebagai Action Centre for Sustainable Development of SMEs atau singkatannya ACCESS.

”Platform ini akan menyediakan PMKS khidmat nasihat, pembangunan kapasiti serta jalinan rangkaian bersama syarikat besar yang terlibat di dalam amalan Sustainable Development Goals (SDG) serta ESG,” ujarnya.

Ismail Sabri berkata, di Rancangan Malaysia Ke-12 serta Belanjawan 2022, hampir semua kategori usahawan merangkumi perusahaan mikro, kecil dan sederhana, perusahaan sosial dan usahawan tidak formal menerima manfaat.

Kerajaan turut memperkenalkan beberapa pembaharuan, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama.

Tumpuan khusus adalah mentransformasi PMKS sebagai pemacu pertumbuhan baharu serta memperkasakan pendigitalan bagi mengamalkan norma baharu, ujar beliau.

Di samping itu, tumpuan juga diberi untuk PMKS beralih daripada pasaran domestik kepada pasaran global untuk meningkatkan daya saing sekaligus membantu PMKS untuk mencapai sasaran iaitu menyumbang sebanyak 45% kepada KDNK dan 25% daripada jumlah eksport pada tahun 2025.

”Pertumbuhan PMKS diberi penekanan yang penting dalam pembangunan ekonomi negara. Strategi yang menjurus kepada inovasi dan pendigitalan, kelestarian dan pertumbuhan inklusif dijangka dapat mewujudkan satu ekosistem keusahawanan yang kondusif dan menyeluruh.

”Kerajaan terus mempergiatkan usaha bagi menambah baik akses dan peluang pasaran bagi membantu PMKS meningkatkan jualan di pasaran antarabangsa.

”Inisiatif ini dilaksanakan melalui kerjasama G2G serta usaha sama dalam kalangan negara ASEAN dan APEC serta pertubuhan antarabangsa yang lain dan usaha juga akan dilaksanakan untuk memanfaatkan faedah perjanjian perdagangan bebas (FTA) dalam memperluas akses pasaran dan mempercepat pengantarabangsaan PMKS, termasuklah pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 serta memeterai perjanjian FTA baharu, tambah beliau.

Pelbagai inisiatif akan diteruskan menerusi platform antarabangsa seperti ini dan forum-forum seumpamanya bagi terus menambah baik persekitaran perniagaan serta mengurangkan halangan perdagangan seterusnya memartabatkan industri PMKS di persada antarabangsa. – MalaysiaGazette