Kembali

COVID-19: Pelbagai bantuan, latihan disediakan kepada usahawan terjejas perniagaan

KUALA LUMPUR: Usahawan yang ingin memulihkan dan mengembangkan perniagaan berpeluang memohon pelbagai bantuan dan latihan yang disediakan oleh pelbagai agensi, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya sebagai contoh, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui SME Corporation Malaysia (SME Corp) melaksanakan pelbagai program dan terbuka kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang layak termasuk belia, wanita serta golongan yang berkeperluan khas seperti Orang Kurang Upaya (OKU).

“Hasrat kami supaya program seperti ini dapat membantu mengukuhkan kedudukan sosio-ekonomi golongan asnaf ini.

“Mungkin kali ini mereka menerima zakat. Insya-Allah pada masa akan datang, apabila kedudukan ekonomi mereka sudah kukuh kerana perniagaan mereka lebih berjaya, mereka pula akan menjadi penyumbang zakat,” katanya ketika berucap merasmikan Program Tunas Usahawan Baitulmal (TUB) di sini, hari ini.

TUB yang dianjurkan oleh MEDAC melalui SME Corp dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), menyasarkan usahawan Baitulmal yang berpotensi untuk mengembangkan perniagaan, dan keutamaan diberikan kepada usahawan Baitulmal yang terjejas perniagaannya akibat COVID-19.

Menurut Pengerusi SME Corp Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee, program TUB itu juga dirangka bagi membantu menaik taraf kehidupan melalui aktiviti keusahawanan agar mampu menjana pendapatan jangka panjang serta membina daya tahan dan jati diri dalam menjalankan perniagaan.

“Hasil daripada program ini, peserta berjaya menjana nilai jualan terkumpul bernilai RM1.32 juta,” katanya.

Syed Hussien yang juga pengerusi MAIWP berkata program itu dilaksanakan secara rintis dengan melatih 84 usahawan pada 2019.

“Daripada jumlah terbabit, 18 peserta yang dahulunya penerima zakat mula menjadi pembayar zakat. 

“Manakala, pada tahun ini, seramai 50 usahawan akan dilatih secara dalam talian bermula 13 hingga 22 Disember 2020,” katanya.

Bagi mengukuhkan kerjasama menyediakan latihan dan bimbingan kepada golongan asnaf dan B40, turut berlangsung sesi pertukaran dokumen kerjasama antara SME Corp, MAIWP dan Bank Islam Malaysia Bhd bagi Program TUB dan Program Pembiayaan Mikro yang khusus untuk usahawan mikro daripada golongan B40 dan asnaf yang kehilangan pendapatan akibat pandemik COVID-19. 

Program Pembiayaan Mikro ini menyediakan latihan keusahawanan dan bantuan pembiayaan pinjaman sehingga RM50,000 bagi membantu usahawan mikro yang terjejas untuk bangkit dan membina semula perniagaan mereka. – BERNAMA