KUALA LUMPUR: Langkah membuka ekonomi secara beransur-ansur adalah penting bagi memastikan proses pemulihan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat dimulakan dengan segera, demikian menurut SME Corp Malaysia.
Namun, ia berkata, pembukaan beberapa sektor ekonomi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu mengambil kira beberapa aspek seperti kapasiti dan ujian saringan COVID-19 serta pelaksanaan program vaksinasi yang sudah dilaksanakan.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy, berkata kaji selidik yang dijalankan SME Corp Malaysia dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mendapati sektor PKS amat terkesan dan mungkin tidak dapat bertahan jika perniagaan mereka terus ditutup sehingga Oktober.
Beliau berkata, keadaan itu jelas terbukti pada tahun lalu, PKS telah menanggung kerugian sebanyak RM40.7 bilion berikutan pelaksanaan PKP yang menyebabkan kebanyakan perniagaan tidak dapat beroperasi seperti biasa.
Katanya, antara cabaran utama yang dihadapi PKS jika perlu menutup perniagaan dalam jangka masa panjang adalah kekangan aliran tunai perniagaan serta gangguan rantaian bekalan.
Oleh itu, jelasnya, PKS bukan saja memerlukan pembiayaan, tetapi juga perlu mempertingkatkan kemahiran, keupayaan dan kapasiti serta bimbingan.
“Sehubungan itu, kerajaan telah memperkenalkan Pembiayaan Pengukuhan PKS (SMERF), skim pembiayaan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).
“Skim ini telah disalurkan melalui SME Corp Malaysia dan dilaksanakan oleh MIDF untuk memudah cara PKS yang berdaya maju yang mempunyai kekangan kewangan dan sektor yang terpinggir,” katanya dalam satu kenyataan.
Melalui cara pembiayaan yang cepat dan fleksibel, SME Corp Malaysia berkata, skim itu dilihat dapat membantu mengukuhkan perniagaan PKS, menguruskan aliran tunai mereka dengan lebih baik, meningkatkan produktiviti dan sekali gus dapat mengekalkan pekerjaan.
Selain itu, SME Corp Malaysia juga membangunkan portal MyAssist MSME, platform sehenti khidmat perniagaan dalam talian untuk membantu PKS menentukan hala tuju perniagaan dalam norma baharu dan berkembang maju dalam realiti pasca pandemik.
PKS dapat dibantu dalam menguruskan isu atau masalah yang berkaitan dengan perniagaan mereka melalui penyediaan khidmat nasihat perniagaan dan maklumat kemudahan kewangan, fasilitasi perdagangan, sokongan teknologi, pemadanan perniagaan, peluang pemasaran digital serta penerapan e-dagang.
Inisiatif itu dilihat akan dapat membantu mempertingkatkan semula Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) PKS yang menguncup sebanyak 7.3 peratus pada 2020, terendah direkodkan sejak perangkaan KDNK PKS pertama kali diterbitkan pada 2000.
© New Straits Times Press (M) Bhd