
KUALA LUMPUR – SME Corp. Malaysia melanjutkan tempoh penganjuran e-Pameran MyAssist MSME yang sepatutnya berakhir semalam sehingga 4 Ogos ini.
Lanjutan ini bagi memberi ruang dan peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana di seluruh negara untuk terus mempromosikan dan memasarkan produk mereka secara dalam talian melalui e-Pameran di dalam portal MyAssist MSME.
Ia bertepatan dengan keadaan ekonomi semasa yang amat sukar berikutan pandemik Covid-19 yang masih berleluasa serta sambungan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sebanyak 506 pempamer daripada seluruh negara telah menyertai e-Pameran di dalam Portal MyAssist MSME yang dilancarkan pada 30 Jun lalu.
SME Corp berkata, sejak pelancaran sehingga 4 Julai 2021, seramai 29,022 pengunjung maya e-Pameran telah direkodkan. – MalaysiaGazette