Kembali

Minggu PKS 2021 pupuk semangat, bantu usahawan berdepan cabaran Covid-19

Di era pandemik Covid-19 ketika ini, tidak dinafikan ramai usahawan yang terjejas sepanjang menjalankan perusahaan secara kecil-kecilan dalam tempoh jangka masa yang belum menemui noktahnya.
Sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutamanya pasti kecewa dengan permintaan pasaran yang merudum, malah ada sebahagian pekerja terpaksa diberhentikan bagi mengurangkan kos operasi syarikat.

Berikutan keadaan tidak stabil dan bimbang sekiranya golongan PKS tempatan terpaksa gulung tikar, pelbagai program dirancang untuk membantu mereka menghadapi cabaran tersebut.

Bagi meningkatkan semangat dan prestasi perniagaan, SME Corp. Malaysia melakukan inisiatif dengan melancarkan Minggu PKS yang berlangsung dari 26 Jun hingga 4 Julai 2021 di seluruh negeri.

Membawa tema ‘Mula Berdikit, Azam Melangit’, Minggu PKS adalah platform untuk menyebarkan maklumat, mempromosikan produk dan perkhidmatan PKS sekali gus membudayakan keusahawanan bagi mengukuhkan lagi kesejahteraan ekonomi negara.

Walaupun dianjurkan secara maya, pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya Gerai Maya (E-Expo), Sesi Pemadanan Perniagaan (MatchMe), Pocket Talk/Bengkel Keusahawanan/Sesi Pitching/Taklimat PKS (Webinar), Sesi Khidmat Nasihat (MeetMe) dan banyak lagi.

Semua aktiviti berkenaan diadakan menerusi portal digital MyAssist MSME, iaitu platform khidmat nasihat perniagaan secara dalam talian yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 30 Jun ini.

Mula diperkenalkan sejak 2012, Minggu PKS terus mendapat sambungan pada setiap tahun selain menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak seperti kementerian, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan kewangan, persatuan perniagaan serta platform dalam talian.

Untuk mengetahui sebarang maklumat lanjut berkenaan inisiatif SME Corp. Malaysia, anda boleh layari www.smecorp.gov.my atau media sosial rasmi seperti Facebook: smecorpmalaysia,  Instagram: smecorpmalaysia, Twitter: smecorp serta saluran YouTube: smecorpmalaysia